Setiap tahun Hari Guru nyata disambut dengan meriah. Berbagai acara dan
sukaneka khas untuk golongan pendidik ini diadakan. Akan tetapi jikalau
kita mau sedikit merenung kembali,ada berjuta makna di sebalik kata
GURU. Bagi sesetengah orang menjadi guru mungkin hanyalah satu
"pelarian", tawaran terakhir, kerana tak mampu mencapai pekerjaan lain
yang lebih "berkelas" semisal penjawat awam di pejabat-pejabat kerajaan
atau bahkan satu-satunya peluang yang mesti diterima dek kerana bimbang
menjadi penganggur.Tapi bagi yang berdedikasi pula, menjadi guru adalah
satu cita-cita yang tertanam dalam hati sanubari semenjak kecil lagi
atau setelah memahami betapa pentingnya peranan guru untuk membimbing
anak-anak bangsa.
Masyarakat mungkin sering salah menilai pribadi seorang guru. Guru juga
adalah manusia biasa, yang boleh buat silap dan salah juga, yang mungkin
sekali sekala ada lalai dan lupa. Guru bukanlah manusia yang sempurna,
sebelum mendidik anak-anak orang lain yang bergelar murid, dia haruslah
mendidik anak-anaknya sendiri dulu. Bersikap adil dan disiplin dengan
semua anak sendiri dan anak-anak didiknya. Menjaga tepi kain muridnya
sama seperti kasih sayang dan kepeduliannya pada anak-anaknya sendiri.
Guru juga punya banyak kelemahan,setiap hari "bertarung" dalam hati,
antara keikhlasan untuk memberikan ilmu dengan tuntutan "periuk nasi" di
rumah.
Menjadi guru bukanlah perkara mudah. Saya sendiri turut merasai
pengalaman ini. Tapi pengalaman yang paling manis adalah apabila setelah
semua kepayahan,anak-anak didik berjaya menunjukkan prestasi
terbaiknya. Hilang rasa penat lelah. Sama seperti bahagianya seorang ibu
yang gembira melihat anak-anak yang telah dilahirkannya telah pun
mencapai kejayaan.
Para guru sebenarnya tidak mengharapkan lebih dari yang patut. Harapan
terbesar semoga anak-anak didik tidak melupakan ilmu yang telah diberi
dan menggunakan bekalan ilmu itu di jalan kebaikan. Alangkah pedihnya
hati seorang guru, jika ternyata ilmu perakaunan yang telah
diajarkannya,ternyata justeru digunakan oleh bekas anak didiknya untuk
melakukan jenayah kewangan dan semisalnya. Alangkah hancurnya hati
seorang guru,jika ilmu agama yang dicurah justeru diguna untuk permainan
politik semata-mata, dan ada banyak lagi perkara sedemikian.
Tapi alangkah bangga dan bertuahnya seorang guru, jika ilmu fizik yang
telah diberikannya pada sang murid akhirnya membawa sang murid menjadi
seorang angkasawan. Alangkah bahagianya seorang guru jika ilmu yang
diukir dengan susah payah, membawa sang murid menjadi seorang pakar
ekonomi yang berjaya mengangkat ekonomi negara di peringkat
antarabangsa.
Ustad,ustadzah,pensyarah,cikgu...atau apapun gelaran itu.....menjadi
pendidik ada cabarannya sendiri. Semoga sambutan Hari Guru dari tahun ke
tahun akan menjadi semakin bermakna dengan lakaran kejayaan anak-anak
bangsa. Amin........
Note: tulisan ini juga saya publikasikan dalam blog saya yang lain http://nature-oasis.blogspot.com
No comments:
Post a Comment