Friday 25 November 2011

Peranan Ibu Bapa dalam Pendidikan

Tiada apa-apa jua membantu kanak-kanak berjaya seperti ibu bapa yang terlibat secara langsung dalam pendidikan . Kesanggupan sedikit dari ibu bapa kanak-kanak dalam memberikan masa yang yang berkualiti akan  mencipta keajaiban.

Ibu bapa hendaklah memainkan 4 pearanan penting berikut:
1. Jadilah pemberi semangat
Anak-anak sentiasa perlukan semangat. Tak kiralah pada ketika dia mencapai kejayaan ataupun ketika dia berdepan kegagalan.

Tanamkan dalam minda mereka bahwa kejayaan bukan bererti akhir dari kepayahan dan kegagalan juga bukanlah penamat usahanya. Beri mereka galakan bahwa apapun kesukaran yang dihadapi, mereka tak boleh berputus asa, sebaliknya jadikan ianya satu pengajaran untuk lebih baik lagi. Manakala kejayaan hendaklah tidak membuat mereka lalai lalu enggan melangkah maju kehadapan.

2. Jadilah teman yang baik
Adakalanya kesukaran dalam pelajaran, bukanlah sesuatu yang "terlalu penting" bagi anak-anak kita. Tanpa sepengetahuan kita, mungkin anak-anak kita menghadapi masalah dengan rakan sekelas atau kes buli atau hal-hal lain yang mempengaruhi emosi dan perkembangan jiwanya.
Pada ketika inilah ibu bapa hendaklah menjadi seorang teman yang baik dalam ertian mahu mendengar segala keluh kesah mereka, sudi menempatkan diri pada posisi mereka sehingga mampu menyelami perasaan anak-anak kita. Kesediaan untuk berkonsi masalah mereka akan menaikkan semangat belajar mereka kerana mereka yakin belajar bukanlah setakat tanggung jawab mereka tapi satu pengalaman hidup yang manis untuk dirasai.

3. Jadilah seorang guru
Tidak semua perkara boleh kita serahkan kepada guru atau pendidik di sekolah. ibu bapa perlulah terlibat sama dalam pendidikan anak-anak, Membantu mereka menyelesaikan soalan atau tugasan sekolah akan mengeratkan hubungan kasih sayang ibu bapa dan anak. Bimbing anak-anak kita ketika berhadapan dengan kesukaran dalam pembelajaran. Meletakkan sepenuh tanggung jawab kepada guru di sekolah akan menyebabkan anak-anak kita merasa yang ibu bapa mereka hanya perlukan markah yang tinggi tanpa mahu peduli betapa besar usaha mereka dalam mencapainya. Akibatnya, anak-anak hilang kepercayaan kepada ibu bapa.

4.Jadilah penguat kuasa
Ketegasan dan disiplin hendaklah ditanamkan sejak mereka kecil lagi. Tegas bukan bererti "marah-marah". Disiplin juga bukan bererti "nak tak nak kena ikut cakap". Yang dimaksudkan tegas dan disiplin di sini adalah membiasakan anak-anak untuk mengikut jadual yang ditetapkan, baik jadual persekolahan mahupun tugasan di rumah. Jangan harapkan anak-anak kita akan mengerti sepenuhnya apa yang perlu dilakukan. Kerapkali ibu bapa perlu mengingatkan mereka perkara apa yang mesti didahulukan,apa yang patut menjadi prioriti dan bagaimana mengatur masa yang terhad. Ambil contoh: anak-anak kita mungkin tak sabar-sabar ingin bermain di luar rumah, apatah lagi sudah ramai rakannya yang bermain di luar. Pada ketika itu, ada baiknya kita tegaskan kepada mereka untuk menyelesaikan kerja sekolah dulu baru bermain keluar. Kesepakatan ini diharapkan dapat memberikan kebaikan bagi anak dan juga ibu bapa. 

No comments:

Post a Comment