Wednesday 16 May 2012

Selamat Hari Guru 2012

Setiap tahun Hari Guru nyata disambut dengan meriah. Berbagai acara dan sukaneka khas untuk golongan pendidik ini diadakan. Akan tetapi jikalau kita mau sedikit  merenung kembali,ada berjuta  makna di sebalik kata GURU. Bagi sesetengah orang menjadi guru mungkin hanyalah satu "pelarian", tawaran terakhir, kerana tak mampu mencapai pekerjaan lain yang lebih "berkelas" semisal penjawat awam di pejabat-pejabat kerajaan atau bahkan satu-satunya peluang yang mesti diterima dek kerana bimbang menjadi penganggur.Tapi bagi yang berdedikasi pula, menjadi guru adalah satu cita-cita yang tertanam dalam hati sanubari semenjak kecil lagi atau setelah memahami betapa pentingnya peranan guru untuk membimbing anak-anak bangsa.

Masyarakat mungkin sering salah menilai pribadi seorang guru. Guru juga adalah manusia biasa, yang boleh buat silap dan salah juga, yang mungkin sekali sekala ada lalai dan lupa. Guru bukanlah manusia yang sempurna, sebelum mendidik anak-anak orang lain yang bergelar murid, dia haruslah mendidik anak-anaknya sendiri dulu. Bersikap adil dan disiplin dengan semua anak sendiri dan anak-anak didiknya. Menjaga tepi kain muridnya sama seperti kasih sayang dan kepeduliannya pada anak-anaknya sendiri. Guru juga punya banyak kelemahan,setiap hari "bertarung" dalam hati, antara keikhlasan untuk memberikan ilmu dengan tuntutan "periuk nasi" di rumah.

Menjadi guru bukanlah perkara mudah. Saya sendiri turut merasai pengalaman ini. Tapi pengalaman yang paling manis adalah apabila setelah semua kepayahan,anak-anak didik berjaya menunjukkan prestasi terbaiknya. Hilang rasa penat lelah. Sama seperti bahagianya seorang ibu yang gembira melihat anak-anak yang telah dilahirkannya telah pun mencapai kejayaan.

Para guru sebenarnya tidak mengharapkan lebih dari yang patut. Harapan terbesar semoga anak-anak didik tidak melupakan ilmu yang telah diberi dan menggunakan bekalan ilmu itu di jalan kebaikan. Alangkah pedihnya hati seorang guru, jika ternyata ilmu perakaunan yang telah diajarkannya,ternyata justeru digunakan  oleh bekas anak didiknya untuk melakukan jenayah kewangan dan semisalnya. Alangkah hancurnya hati seorang guru,jika ilmu agama yang dicurah justeru diguna untuk permainan politik semata-mata, dan ada banyak lagi perkara sedemikian.

Tapi alangkah bangga dan bertuahnya seorang guru, jika ilmu fizik yang telah diberikannya pada sang murid akhirnya membawa sang murid menjadi seorang angkasawan. Alangkah bahagianya seorang guru jika ilmu yang diukir dengan susah payah, membawa sang murid menjadi seorang pakar ekonomi yang berjaya mengangkat ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

Ustad,ustadzah,pensyarah,cikgu...atau apapun gelaran itu.....menjadi pendidik ada cabarannya sendiri. Semoga sambutan Hari Guru dari tahun ke tahun akan menjadi semakin bermakna dengan lakaran kejayaan anak-anak bangsa. Amin........

Note: tulisan ini juga saya publikasikan dalam blog saya yang lain http://nature-oasis.blogspot.com

No comments:

Post a Comment